Kongres AS setuju dengan perjanjian perbelanjaan untuk elak penutupan kerajaan


Pemimpin Kongres pada minggu lalu bersetuju dengan perjanjian perbelanjaan dwipartisan yang meletakkan had perbelanjaan untuk 2024 pada US$1.59 trilion, sama seperti tahun lepas. – Gambar EPA, 14 Januari, 2024.

KONGRES Amerika Syarikat (AS) bersetuju dengan perjanjian perbelanjaan jangka pendek untuk menghalang kemungkinan penutupan kerajaan sehingga Mac.

Perjanjian itu bagi mengelakkan tarikh akhir penutupan iaitu pada Jumaat dan tarikh akhir penutupan kedua pada 2 Feb, menurut United Press International (UPI).

Tarikh akhir baharu bagi pembiayaan kerajaan ialah 1 Mac dan 7 Mac sekali gus memberikan lebih banyak masa kepada Ahli Parlimen untuk menyediakan peruntukan bagi pelbagai jabatan.

Rang Undang-Undang (RUU) itu masih perlu diluluskan oleh kedua-dua Dewan dan Senat sebelum hari Jumaat untuk mengelakkan penutupan.

Pemimpin Kongres pada minggu lalu bersetuju dengan perjanjian perbelanjaan dwipartisan yang meletakkan had perbelanjaan untuk 2024 pada US$1.59 trilion, sama seperti tahun lepas.

Speaker Dewan  Mike Johnson merancang untuk memanggil ahli Republikan pada Ahad untuk membincangkan rundingan perbelanjaan.

Ahli House Freedom Caucus yang berhaluan kanan menentang perjanjian itu, dengan alasan ia akan meletakkan AS di laluan ke arah kehancuran fiskal.

Bagaimanapun, Johnson menyifatkan ia sebagai perjanjian belanjawan yang paling menguntungkan.

“Perjanjian itu merintis laluan bagi Kongres untuk bertindak dalam beberapa minggu akan datang bagi mengekalkan keutamaan pembiayaan yang penting untuk rakyat Amerika dan mengelakkan penutupan kerajaan,” kata Demokrat New York dalam satu kenyataan. – Bernama, 14 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen