Puluhan ribu berarak di Washington gesa gencatan senjata di Gaza


Perhimpunan anjuran American Muslim Task Force on Palestine, ANSWER Coalition (Bertindak Sekarang untuk Menghentikan Perang dan Perkauman), dimulakan dengan ucapan daripada rakyat Amerika yang keluarga mereka terbunuh di Gaza. – Gambar AFP, 14 Januari, 2024.

PULUHAN ribu orang berhimpun di Washington DC pada Sabtu bagi menyertai perarakan untuk menuntut gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan menamatkan bantuan ketenteraan yang disalurkan Amerika Syarikat (AS) kepada Israel.

Perhimpunan anjuran American Muslim Task Force on Palestine, ANSWER Coalition (Bertindak Sekarang untuk Menghentikan Perang dan Perkauman), dimulakan dengan ucapan daripada rakyat Amerika yang keluarga mereka terbunuh di Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Peserta perhimpunan melaungkan “bebaskan Palestin”, “adakan gencatan senjata sekarang” dan “tamatkan pendudukan” sambil memegang papan tanda yang berbunyi: “Tamatkan perang ke atas Gaza” dan “Biarkan Gaza Terus Hidup.”

Ketua biro Al Jazeera di Gaza Wael al-Dahdouh yang isteri, anak perempuan, dua anak lelaki dan seorang cucunya terbunuh dalam serangan Israel, adalah antara yang berucap melalui pautan video, selain calon presiden AS Cornel West dan Jill Stein dan anak kepada Malcolm X, Ilyasah Shabazz.

Seramai 112 wartawan dan jurugambar terbunuh dalam serangan udara rejim Zionis Israel dalam tempoh tiga bulan lepas.

Ketua biro itu berkata jumlah berkenaan tidak pernah terjadi dalam mana-mana peperangan, termasuk semasa perang Vietnam.

“Nampaknya Israel tidak suka kami menjalankan tugas kami sepenuhnya. Kami beri jaminan kepada anda bahawa kami akan terus membawa mesej dan memenuhi kewajipan kami,” katanya.

Lebih 23,800 rakyat Palestin di Gaza maut akibat serangan udara dan darat tanpa henti tentera penceroboh Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt.

Kempen ketenteraan Israel juga telah menyebabkan pengusiran secara besar-besaran, kemusnahan dan kelaparan dengan ratusan ribu penduduk tiada tempat berlindung. – Bernama, 14 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen