Pembukaan Piala Asia 2030 gabung elemen artistik, sokongan terhadap Palestin


PEMBUKAAN kejohanan Piala Asia AFC 2023 dimeriahkan dengan acara yang menggabungkan warisan Timur dengan identiti Qatar yang tersendiri dan elemen kontemporari Barat, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Diinspirasi daripada kisah mitos “Kalila dan Dimna” majlis itu bukan sahaja memukau penonton dengan paparan artistik dan visual yang menawan tetapi juga menyampaikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin.

Prelude kepada perlawanan pembukaan antara Qatar dan Lubnan di Stadium Antarabangsa Lusail dimulakan dengan persembahan muzik yang memukau bertajuk “The Missing Chapter of Kalila and Dimna.”

Penyanyi Lubnan Abeer Nehme mewarnai pentas dengan lagu yang menyentuh jiwa, stadium menjadi sebuah teater besar yang menampilkan watak haiwan ikonik daripada buku terkenal itu, diiringi dengan pertunjukan cahaya dan bunga api.

Detik yang mengharukan apabila kapten pasukan Qatar Hassan Al Haydos menyerahkan tanggungjawab membacakan ikrar kejohanan kepada kapten pasukan Palestin Musab Al Battat.

Al Haydos berkata selain sebagai satu penghormatan ia juga sebagai tanda bersolidariti dengan perjuangan Palestin.

Sambil mengenakan Keffiyeh Palestin yang ikonik, Al Battat membaca ikrar itu sebelum acara diteruskan dengan persembahan nyanyian oleh Dana Al Meer dengan lagu bertajuk “Zahrat Al-Mada’in”.

Perlawanan pembukaan antara Qatar dan Lubnan turut diserikan dengan pertunjukan bunga api. – Bernama, 13 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen