AS, UK serang Houthi


AS dan UK lancar serangan ke atas pelbagai sasaran Houthi di Yaman malam tadi sebagai tindak balas terhadap serangan Houthi yang mensasarkan kapal maritim antarabangsa, kata Presiden AS Joe Biden. – Gambar Facebook, 12 Januari, 2024.

AMERIKA Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) melancarkan serangan ke atas pelbagai sasaran Houthi di Yaman lewat Khamis sebagai tindak balas terhadap serangan Houthi yang mensasarkan kapal maritim antarabangsa, kata Presiden AS Joe Biden.

“Serangan ini merupakan tindak balas langsung kepada serangan Houthi di Laut Merah – termasuk penggunaan peluru berpandu balistik anti-kapal (anti-ship ballistic missile) buat kali pertama dalam sejarah,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Biden.

Sementara itu, saluran TV Al-Masirah milik Houthi melaporkan ibu kota Yaman, Sanaa kini berdepan “pencerobohan Amerika”.

Tindakan itu dibuat sebagai tindak balas kepada serangan berterusan kumpulan Yaman yang disokong Iran terhadap laluan perkapalan antarabangsa di Laut Merah yang bermula pada November.

Houthi mendakwa pihaknya melancarkan serangan berkenaan sebagai tindak balas kepada perang Israel ke atas Gaza.

Laut Merah merupakan laluan penting bagi perdagangan antarabangsa, penghantaran minyak dan bahan api tertentu, dengan ia menghubungkan Terusan Suez di Mesir dengan Teluk Aden.

Tentera AS mendakwa Houthi melancarkan 27 serangan di Laut Merah sejak 19 November.

Pada bulan lepas, Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin mengumumkan penubuhan misi multinasional bagi menentang serangan Houthi.

AS dan UK melancarkan serangan dengan “sokongan” yang tidak diketahui dari Australia, Bahrain, Kanada dan Belanda, kata Biden.

“Serangan yang disasarkan ini adalah mesej jelas AS dan rakan kongsi tidak akan bertolak ansur dengan serangan ke atas kakitangan kami atau membenarkan kumpulan penyerang menjejaskan kebebasan pelayaran di laluan komersial paling kritikal di dunia,” katanya.

Biden berkata “langkah pertahanan” dilaksanakan terhadap Houthi setelah beberapa bulan rundingan dan peningkatan serangan kumpulan itu terhadap kapal komersial.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengarahkan tindakan selanjutnya demi melindungi rakyat dan aliran bebas perdagangan antarabangsa jika perlu,” katanya. – Bernama, 12 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen