Jepun pantau situasi susulan Putin umum lawat Kepulauan Kuril


Jepun pantau situasi susulan kenyataan Presiden Russia Vladimir Putin akan melawat Kepulauan Kuril yang hakmiliknya dipertikaikan kedua-dua negara. – Gambar fail AFP, 12 Januari, 2024.

JEPUN akan memantau rapat situasi susulan kenyataan Presiden Russia Vladimir Putin akan melawat Kepulauan Kuril yang hakmiliknya dipertikaikan kedua-dua negara, lapor Sputnik memetik kenyataan Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yoshimasa Hayashi.

Pada Khamis, Putin berjanji akan melawat Kepulauan Kuril dalam pertemuan dengan usahawan dari Timur Jauh Russia.

“Semasa lawatannya ke Khabarovsk pada 11 Januari, Putin mengumumkan akan melawat Kepulauan Kuril. Kami tidak dapat mengulas mengenai kenyataan yang dibuat pegawai kerajaan Russia. Kerajaan akan terus memantau keadaan dan bertindak sewajarnya,” kata Hayashi dalam sesi taklimat.

Beliau turut mengulangi pendirian Jepun akan meneruskan dasar sekatan terhadap Russia dan menyokong Ukraine.

Empat pulau Kuril – Iturup, Kunashir, Shikotan, dan Habomai merupakan wilayah yang dipertikai antara Russia dan Jepun sejak Perang Dunia Kedua, dengan kedua-dua negara tidak dapat menandatangani perjanjian damai.

Russia menolak tuntutan Tokyo ke atas pulau berkenaan dan mewujudkan program pembangunan utama untuk pulau itu bagi tempoh 2016-2025. – Bernama, 12 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen