Kerajaan teliti kesan penarikan firma Jepun daripada projek HSR, kata PM


Kerajaan akan meneliti kesan penarikan diri firma Jepun daripada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura terhadap projek berkenaan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2024.

KERAJAAN akan meneliti kesan penarikan diri firma Jepun daripada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura terhadap projek berkenaan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kita akan lihat.. Saya baru terima laporan sebentar tadi,” kata Anwar yang juga menteri kewangan kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Desa Pinggiran Putra, hari ini.

Mengikut laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber, syarikat negara itu memutuskan untuk menarik diri kerana berpendapat ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.

Pada Julai 2023, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) melancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura melalui model perkongsian awam swasta.

Pelaksanaan proses RFI itu juga menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura menerusi mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan yang baharu, selain usaha untuk mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.

Tarikh akhir penyerahan RFI bagi projek HSR KL-Singapura dilanjutkan sehingga 15 Januari, 2024 berbanding tarikh asalnya yang ditetapkan pada 15 November, 2023.

Pada 27 Julai, 2023 MyHSR Corp mengadakan taklimat RFI untuk projek HSR, yang dikatakan menarik lebih 700 peserta tempatan dan asing.

Mengulas permohonan bekas perdana menteri Najib Razak supaya tindakan diambil untuk menurunkan dan melarang tayangan dokumentari bertajuk “Man On The Run” dalam platform penstriman Netflix, Anwar berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan perkara itu.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib menghantar surat kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Pengawal Selia MCMC Zulkairnain Mohd Yasin, memohon supaya mengambil tindakan dengan menurunkan serta melarang tayangan dokumentari itu di Netflix.

Laporan media menyebut Shafee mahu kerajaan menarik penyiaran dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu di Malaysia kerana berpendapat ia bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah terhadap bekas ahli Parlimen Pekan itu.

“Yang itu mereka (kerajaan) akan pertimbangkan,” kata Anwar.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Al-Hidayah, dan sebelum itu makan tengah hari di Restoran Arham, berhampiran dan disaji dengan menu asam pedas. – Bernama, 12 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen