Singapura cadang hukuman penjara tanpa had masa bagi pesalah 'berisiko tinggi'


Singapura bercadang untuk mengenakan hukuman penjara tanpa had masa bagi pesalah berisiko tinggi bagi kesalahan seksual dan bunuh. – Gambar EPA, 11 Januari, 2024.

KERAJAAN Singapura bercadang untuk mengenakan hukuman penjara tanpa had masa bagi pesalah berisiko tinggi bagi kesalahan seksual dan bunuh.

Peruntukan ‘Hukuman untuk Perlindungan Awam Yang Dipertingkatkan’ bagi rang undang-undang yang diusulkan di Parlimen republik itu semalam bertujuan untuk memastikan banduan yang menunjukkan tanda-tanda mereka berpotensi mengulangi kesalahan mereka kekal dipenjarakan, walaupun tempoh hukuman berakhir.

Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri dalam kenyataan bersama berkata kerajaan sedang meneliti meneliti cara yang lebih baik untuk melindungi orang awam daripada pesalah berbahaya seperti itu, yang menimbulkan risiko kecederaan fizikal dan/atau seksual serius terhadap orang lain.

“Kami mahu memastikan pesalah berbahaya dan berisiko tinggi seperti itu tidak dilepaskan semula dalam masyarakat sehingga tidak lagi mengancam keselamatan awam,” menurut kenyataan itu.

Undang-undang yang dicadangkan itu terpakai kepada individu yang disabitkan atas kesalahan seksual atau keganasan serius seperti merogol dan membunuh.

Ia mengesyorkan tempoh penjara minimum lima hingga 20 tahun, yang akan ditentukan oleh mahkamah.

Pesalah berisiko tinggi hanya akan dibebaskan jika kementerian dalam negeri menilai mereka tidak lagi menjadi ancaman terhadap masyarakat. Jika didapati tidak sesuai untuk dibebaskan, pesalah berkenaan boleh dipenjarakan seumur hidup.

“Pilihan hukuman sedia ada tidak cukup untuk menangani kesalahan seteruk itu.

“Bagi kesalahan yang tidak melibatkan penjara seumur hidup, pilihan hukuman buat masa ini rata-rata memerlukan pesalah dibebaskan secara automatik selepas tempoh tertentu, tanpa mengira ancaman yang boleh berlaku terhadap orang lain,” menurut kementerian itu. – AFP, 11 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen