Terowong rahsia ditemui bawah rumah ibadat Yahudi di New York


Jabatan Polis Bandaraya New York menemui terowong yang dibina secara haram di bawah Ibu Pejabat Dunia Chabad-Lubavitch di 770 Eastern Parkway di Crown Heights, Brooklyn. – Tangkap layar, 11 Januari, 2024.

LEBIH 10 penganut Yahudi mahzab Hasidik telah ditahan selepas terlibat dalam pertempuran dengan polis di sebuah ‘synagogue’ (rumah ibadat Yahudi) bersejarah di New York, lapor Agensi Berita Anadolu pada Selasa.

Jabatan Polis Bandaraya New York (NYPD) menemui terowong yang dibina secara haram di bawah Ibu Pejabat Dunia Chabad-Lubavitch di 770 Eastern Parkway di Crown Heights, Brooklyn.

NYPD telah melancarkan siasatan. Bagaimanapun, motif penggalian terowong di bawah rumah ibadat Yahudi itu masih tidak jelas.

Sementara itu, video yang tular di platform media sosial X menunjukkan ahli ‘synagogue’ keluar dari terowong dengan pergelutan berlaku ketika mereka mengelak daripada ditahan polis.

Beberapa tilam juga ditemui di dalam terowong.

Jurucakap Chabad Lubavitch menerusi hantaran di X berkata sekumpulan pelajar pelampau pernah memecah beberapa dinding di hartanah bersebelahan dengan ‘synagogue’ untuk memberi mereka laluan ke rumah ibadat itu walaupun tidak dibenarkan. – Bernama, 11 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen