JEMAAH Menteri dalam mesyuarat hari ini mengutuk sekeras-kerasnya insiden lontaran molotov cocktail ke arah kediaman Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Perak pagi tadi, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Rentetan insiden itu Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Jemaah Menteri turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bertindak berlandaskan undang-undang termasuk dalam mengurus perbezaan pandangan.
“Jangan sesekali membuat percubaan mengapi-apikan sentimen atau menghasut rakyat melanggar undang-undang terutama terhadap mereka yang berlainan pendapat.
“Jemaah Menteri turut memberi amaran keras sebarang tindakan yang melanggar undang-undang akan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan hari ini berkata polis sedang giat mengesan individu yang disyaki melontar molotov cocktail ke rumah Ngeh sehingga menyebabkan tiga kenderaan terjejas.
Mohd Yusri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api).
Fahmi berkata Jemaah Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berjaya memadamkan kebakaran dengan pantas.
Sementara itu katanya Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, Menteri Luar Mohamad Hasan dan bekas Menteri Luar Zambry Abdul Kadir berkaitan kes tuntutan kumpulan Sulu.
Semalam Azalina berkata Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Madrid yang mendapati penimbang tara ‘tidak beretika’ Dr Gonzalo Stampa bersalah menghina mahkamah, menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan menyifatkan ia sebagai kejayaan penting prinsip kedaulatan undang-undang.
“Ini adalah satu kejayaan yang besar dan ada beberapa langkah lagi di beberapa negara yang lain termasuk di Perancis dan akan ada mungkin pengumuman susulan daripada menteri berkaitan khusus berkenaan isu ini,” kata Fahmi. – Bernama, 10 Januari, 2024.
Komen