Harga petrol di Cuba naik lebih 500% mulai 1 Februari


Harga petrol di Cuba akan naik sehingga lebih 500% mulai 1 Februari. – Gambar AFP, 10 Januari, 2024.

KERAJAAN Cuba pada Isnin umum kenaikan harga bahan api lebih 500% mulai 1 Februari, sebagai sebahagian daripada langkah ekonomi untuk mengurangkan defisit.

Harga bagi seliter petrol gred biasa akan meningkat daripada 25 peso (AS$0.20) kepada 132 peso, manakala harga petrol premium akan melonjak daripada 30 peso kepada 156 peso, kata Menteri Kewangan dan Harga Vladimir Regueiro secara langsung di televisyen.

Pihak berkuasa juga berkata pelancong ke negara itu perlu membayar bahan api dalam mata wang asing.

Disember lalu kerajaan Cuba, yang memberikan subsidi hampir kepada semua barangan dan perkhidmatan penting, mengumumkan beberapa langkah bagi mengurangkan defisit ketika negara itu mengalami krisis ekonomi yang teruk.

Menurut data rasmi, ekonomi Cuba menyusut sebanyak 2%, manakala inflasi mencapai 30% tahun lepas.

Menteri Ekonomi Alejandro Gil pada hujung bulan lepas mengakui bahawa kerajaan tidak lagi boleh menjual bahan api pada harga bersubsidi, ketika negara itu kekurangan mata wang asing dan masih di bawah sekatan Amerika Syarikat selama berpuluh-puluh tahun.

“Kita tidak dapat mengekalkan harga petrol, yang paling murah di dunia jika dibandingkan dengan harga di negara lain,” katanya. – AFP, 10 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen