Anwar mahu laporan teliti masalah bekalan air berlarutan di UMS


Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir umum peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi mengatasi masalah bekalan air sebagai penyelesaian jangka pendek. – Gambar Facebook, 9 Januari, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mahu pihak berkaitan mengemukakan laporan teliti berhubung masalah bekalan air yang masih berlarutan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan kerajaan telah meluluskan peruntukan RM3 juta tahun lepas bagi mengatasi masalah itu.

Berucap pada majlis perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan hari ini, Anwar berkata beliau mendapat tahu dari media sosial mengenai mahasiswa UMS berdepan dengan masalah air, dan perkara itu dirujuk kepada Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir semalam.

“Saya tidak mengerti sama ada mungkin projek itu ambil masa, saya tidak mahu menghukum. Saya minta laporan teliti apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera untuk selesaikan masalah air di universiti itu.

“Saya nak dapat laporan, mungkin KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican) boleh tanya ketua setiausaha kementerian berkenaan. Apa berlaku sejak kelulusan saya dan tindakan yang diambil oleh kementerian dan universiti,” katanya.

Kerajaan Persekutuan pada 31 Mei tahun lepas meluluskan peruntukan RM3 juta kepada UMS bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang menurut Anwar, beliau tidak mahu mahasiswa UMS menghadapi kesukaran menjalani kehidupan ketika menimba ilmu.

Semalam, Zambry turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi tujuan sama sebagai penyelesaian jangka pendek dan panjang agar masalah bekalan boleh diatasi segera. – Bernama, 9 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen