Pemimpin kanan Hezbollah terbunuh dalam serangan Israel


Media tentera Hezbollah menyiarkan gambar Komander Wissam Hassan Tawil turut dikenali sebagai Jawad di satu lokasi rahsia. Wissam terbunuh dalam serangan tentera Israel di selatan Lubnan, semalam. – Gambar AFP, 9 Januari, 2024.

ISRAEL semalam membunuh komander Hezbollah dalam satu serangan di selatan Lubnan, kata kumpulan itu, ketika ketegangan makin teruk di tengah-tengah perang Gaza.

Hezbollah dalam satu kenyataan mengumumkan pembunuhan seorang komandernya, yang pertama dalam tempoh tiga bulan pertembungan di sempadan dengan tentera Israel.

Ia berkata, Wissam Hassan Tawil terkorban “dalam perjalanan ke Jerusalem” – frasa yang sering digunakan gerakan pejuang itu – kerana dibunuh Israel.

Sumber keselamatan berkata Wissam memainkan peranan penting dalam menguruskan operasi Hezbollah di selatan, berhampiran sempadan Israel.

Katanya, komander itu yang memegang beberapa jawatan penting dalam kumpulan pejuang itu terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan keretanya di selatan.

Tentera Israel berkata ia menyerang tapak ketenteraan Hezbollah di Lubnan semalam, tetapi tidak mengulas tentang kematian Wissam.

Hezbollah menyiarkan gambar Wissam bersama pemimpin gerakan itu serta ketua jeneral Iran Qasem Soleimani, yang mengetuai operasi luar negara Tentera Pengawal Revolusi Islam dan terbunuh dalam satu serangan Amerika Syarikat pada 2020.

Antara gambar lain menunjukkan Wissam bersama ketua Hezbollah Hassan Nasrallah dan bekas komander Imad Mughniyeh, yang terbunuh dalam insiden pengeboman kereta di Syria pada 2008, angkara Israel.

Wissam adalah anggota paling kanan Hezbollah yang terkorban sejak pertempuran sengit dengan tentera Israel di sempadan bermula selepas Hamas melakukan serangan balas terhadap Israel pada 7 OKtober.

Hezbollah, yang juga sekutu Hamas berkata Wissam terbabit dalam menawan tentera Israel yang menyebbakan perang antara kumpulan itu dengan Israel pada 2006.

Beliau turut mengarahkan beberapa operasi menentang tentera Israel sejak perang Gaza bermula, kata Hezbollah.

Hamas dalam kenyataan mengucapkan takziah atas kematian syahid Wissam yang terbunuh ketika berjihad dalam sokongannya terhadap Gaza. – AFP, 9 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen