Parti Liga Awami raih majoriti kerusi Parlimen dalam PRU Bangladesh


Parti pemerintah Bangladesh Liga Awami (AL) dipimpin Perdana Menteri Sheikh Hasina memperoleh lebih 70 peratus kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) negara itu. – Gambar AFP, 8 Januari, 2024.

PARTI pemerintah Bangladesh Liga Awami (AL) dipimpin Perdana Menteri Sheikh Hasina memperoleh lebih 70 peratus kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) negara itu.

Perkara itu diumumkan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Ahad malam, lapor Xinhua.

Bangladesh mengadakan PRU semalam untuk memilih 299 Ahli Parlimen. Bagaimanapun, pengundian di satu kawasan pilihan raya ditangguhkan kerana kematian calon.

Lebih 260 calon parti AL menyertai pilihan raya kebangsaan. Pengundian bermula pada 8 pagi waktu tempatan dan berakhir pada 4 petang waktu tempatan di lebih 42,000 pusat mengundi di seluruh negara.

Pemerhati asing untuk pilihan raya juga memantau pusat mengundi berbeza sejak pagi Ahad. Selepas melawat pusat mengundi, beberapa pemerhati menyifatkan pilihan raya itu sebagai bebas, adil, aman, berjaya dan sah.

Di Bangladesh, sebuah parti boleh membentuk kerajaan jika berjaya memperoleh sebanyak 151 kerusi parlimen secara keseluruhan.

Parti AL menerajui pentadbiran Bangladesh selepas mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya pada 2009 dan memenangi penggal kedua pada 2014 selain mempertahankan penggal ketiga pada 2018.

Terdapat hampir 120 juta pengundi berdaftar di negara Asia Selatan itu.

Bagi memudahkan proses pengundian, cuti umum diisytiharkan di seluruh negara semalam. – Bernama, 8 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen