Tiada tolak ansur soal rasuah, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tekad memerangi rasuah dan ingin memastikan kegiatan itu tidak berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengulangi ketegasan beliau sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan isu rasuah sama ada ia melibatkan penyokong kerajaan atau pembangkang.

Berucap melancarkan Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023 di Sepang hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau tekad memerangi rasuah dan ingin memastikan kegiatan itu tidak berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Percayalah, saya tidak tolak ansur sama sekali (soal rasuah). Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tahu benar pendirian (saya), sama ada (membabitkan) parti sokong saya atau tidak, itu soal lain, ia tidak pengaruhi keputusan saya,” kata beliau.

Anwar berkata badan penguatkuasaan juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap tokoh besar dan berpengaruh yang disyaki terlibat gejala rasuah sekiranya terdapat data, fakta dan alasan kukuh terhadap mereka.

“ … sekiranya ada (fakta) saya tidak peduli kedudukan, pengaruh kerana tindakan tegas harus diambil dan kita telah mulakan,” katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas keberanian mengambil tindakan tanpa mengira pangkat dan kedudukan individu.

Beliau turut meminta semua pihak untuk tidak mempolitikkan tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang terpalit dengan isu rasuah terutamanya melibatkan tokoh besar.

“Sampai bila nak biar macam ini, kenapa isu seperti ini dipolitikkan, saudara ada kesetiaan kepada sesiapa itu masalah saudara, minat pada parti politik, itu soal saudara,” kata beliau.

Menurut Anwar, tindakan tegas terhadap tokoh besar serta pembatalan kontrak rundingan terus juga tidak menyenangkan pihak tertentu, namun baginya perkara itu perlu dibuat demi negara.

“Kontrak besar rundingan terus bocor mencecah bilion ringgit dan saya tidak tokok tambah. Saya ada tanggungjawab pertahankan apa saya hujahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar memuji komitmen barisan Jemaah Menteri dan penjawat awam yang kini telah banyak menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan tata kelola atau tadbir urus dan membawa perubahan kepada negara.

“Ramai nampak komited dan sealiran untuk ambil tindakan tegas dan berani selamatkan negara daripada kebejatan tata kelola buruk dan rasuah membarah,” kata beliau.

Mengenai pengenalan Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 hari ini Anwar menyifatkan arahan itu penting untuk memantapkan tata kelola nasional terutama melibatkan perkhidmatan awam.

“Saya anggap langkah peluncuran (arahan ini) sangat penting dan beri mesej jelas kepada Jemaah Menteri, pimpinan pentadbiran dan pimpinan syarikat yang tidak boleh dianggap mempunyai ruang dan wewenang untuk berbelanja sesuka hati tanpa beberapa peraturan ketat,” katanya.

Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 dilancarkan Anwar hari ini untuk meningkatkan kebertanggungjawaban dan amalan nilai sebagai budaya kerja perkhidmatan awam.

Empat terma rujukan digariskan dalam arahan berkenaan iaitu Reformasi Institusi, Dasar dan Undang-Undang, Sistem dan Prosedur Kerja, Pemantauan dan Penilaian serta Pembudayaan Amalan Nilai dan Tatakelola Baik. – Bernama, 8 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen