TIGA individu ditahan kerana dipercayai melarikan seorang remaja perempuan di luar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Gombak Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata bapa mangsa membuat laporan berhubung kejadian yang berlaku pada pagi 5 Januari lepas.
“Kira-kira jam 7 pagi, seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dibawa secara paksa dari hadapan SMK Kepong dan dibawa ke homestay sebelum dibebaskan semula pada jam 12 tengah hari pada hari yang sama.
“Bertindak atas kejadian ini, kira-kira jam 11.30 malam hari sama, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian ini.
“Mangsa mengenali salah seorang suspek sebagai bekas teman lelaki mangsa yang tidak berpuas hati kerana mangsa memutuskan hubungan mereka,” kata polis dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Jenayah kerana menculik.
Jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan juga boleh didenda.
“Kesemua yang ditahan direman selama empat hari dari 6 hingga 9 Januari,” tambahnya.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Yap Ching Chua di talian 019-9969649 atau talian hotline polis Daerah Gombak di 03-61262222. – 7 Januari, 2024.
Komen