MUHAMMAD Sanusi Md Nor patut memberi tumpuan kepada tugasnya selaku menteri besar Kedah berbanding bercakap tentang Langkah Dubai, kata Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata demikian apabila ditanya wartawan hari ini tentang dakwaan Sanusi yang Langkah Dubai untuk menjatuhkan kerajaan akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Langkah Dubai didakwa melibatkan rancangan mengenalpasti dan membuat tawaran kepada ahli Parlimen untuk mengalihkan sokongan kepada pembangkang dan menubuhkan kerajaan baharu.
“Sebelum dia (Sanusi) bercakap tentang Langkah Dubai, tanya dia apa jadi dengan litar lumba di Kedah.
“Saya rasa, daripada dia (Sanusi) komen tentang ini, mungkin Sanusi perlu ubah sikap beliau. Berhentilah berkaraoke tengah malam dengan perempuan ‘ajnabi’ dan fokus mentadbir,” katanya dipetik akhbar Kosmo hari ini.
Fahmi yang juga menteri komunikasi itu berkata Sanusi patutnya memberi tumpuan kepada isu lebih penting seperti skandal unsur nadir bumi (REE) di Kedah dan kontroversi terbaru melibatkan pasukan bola sepak Kedah.
“Saya rasa, dia ada masalah yang lebih banyak. Dia Menteri Besar, dia bukan Ahli Parlimen. Jadi, fokus kepada tugas masing-masing,” katanya lagi selepas hadir majlis ‘Jualan Termurah Demi Rakyat’ di Pantai Dalam pagi ini.
Sebelum ini dilaporkan yang Sanusi mengesahkan pembangkang Persekutuan sedang merancang untuk menjatuhkan kerajaan semasa menerusi pengalihan sokongan ahli Parlimen mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau bagaimanapun menyifatkan nama ‘Langkah Dubai’ itu sebagai satu ‘dummy’ sahaja.
“Saya kata agak-agak sahaja, takkan semua perkara nak ke Dubai bincang, kalau bincang di Chow Kit, jadi Langkah Chow Kit sebab di Kuala Lumpur,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula menyifatkan dakwaan wujudnya Langkah Dubai tidak memberi kesan kepadanya dan beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada tugasnya sahaja.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pula menggesa pembangkang tidak membuang masa rakyat dengan usaha ‘tebuk atap’ dan mereka yang mahukan perubahan kerajaan boleh melakukannya pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti. – 6 Januari, 2024.
Komen