Penerbangan ke London dilencong ke Jerman kerana 'perbualan mencurigakan'


Juruterbang memutuskan untuk mendarat selepas penumpang memberitahu atendan penerbangan 'beberapa orang bercakap tentang aktiviti pengganas'. – Gambar AFP, 11 Jun, 2017.

PENERBANGAN pesawat easyJet ke London dilencongkan ke Cologne petang semalam kerana “perbualan mencurigakan” didengari di atas kapal, dengan penumpang dipindahkan menerusi gelungsur kecemasan dan tiga lelaki ditahan, kata polis Jerman.

Juruterbang penerbangan dari ibu negara Slovenia Ljubljana memutuskan untuk mendarat selepas penumpang memberitahu atendan penerbangan “beberapa orang bercakap tentang aktiviti pengganas,” kata jurucakap polis kepada AFP, tanpa menjelaskan kandungan perbincangan itu.

Selepas pesawat berkenaan mendarat di kawasan yang selamat di Lapangan Terbang Cologne-Bonn  kira-kira jam 6 petang waktu tempatan, polis persekutuan memindahkan 151 penumpang menggunakan gelungsur kecemasan. Mereka mengasingkan beg milik ketiga-tiga suspek, yang kemudian diletupkan pegawai skuad bom.

Semua suspek diserahkan kepada polis di Cologne, tetapi tiada maklumat mengenai kandungan bagasi atau realiti ancaman pengganas.

Trafik udara di lapangan terbang itu turut terganggu sejak jam 7 petang hingga 10 malam dengan 10 penerbangan dilencongkan serta 20 pelepasan ditangguhkan.

Jerman berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan beberapa serangan jihad di sana dan negara Eropah lain. 

Pihak berkuasa pada Jumaat memindahkan festival rock terbesar di Jerman, selama tiga hari “Rock am Ring,” kerana bimbang kemungkinan ancaman pengganas, yang terbukti tidak berasas. – AFP, 11 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen