Anak syarikat KKDW tidak jana untung akan ditutup, kata Zahid


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata beberapa anak syarikat di bawah KKDW ditutup tahun lepas kerana tidak menjana keuntungan dan senarainya akan diumumkan di Parlimen nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2024.

ANAK syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang tidak menjana keuntungan akan ditutup atau ditukar kerana kementerian tidak mahu menanggung “biawak hidup”, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata beliau mengarahkan semua pengerusi agensi di bawah KKDW untuk memantau prestasi entiti masing-masing. 

“Sila tukar syarikat yang tidak mempunyai keuntungan dan elok cari jalan untuk sumbang keuntungan itu kepada agensi atau badan induk KKDW. Jika tidak, arahan saya - tutup.

“Ini sangat penting supaya kita tidak tanggung biawak hidup dalam organisasi kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun 2024 KKDW di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata beberapa anak syarikat di bawah KKDW ditutup tahun lepas kerana tidak menjana keuntungan dan senarainya akan diumumkan di Parlimen nanti.

“Telah ada yang ditutup, kami juga tawar ‘management buy out’ kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan. Kita serahkan kepada mereka dengan bayaran nominal bagi mereka meneruskan jika ia keluar dari badan induk (KKDW),” katanya dalam sidang media selepas majlis itu.

Zahid berkata tindakan menukar dan menutup anak syarikat tidak menjana keuntungan adalah acuan baharu dan ia telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya perdana menteri juga mengarahkan anak syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan melaksanakan pendekatan sama seperti dibuat di KKDW. 

Sementara itu, Zahid berkata aspirasi Desa MADANI digagaskan dengan berpaksikan akronim KKDW iaitu kemahiran dan pengetahuan; keberkesanan dan kecekapan; data dan digital serta “Wow-Factor” sebagai usaha memangkin gerak kerja warga KKDW. 

“Kita tahu kementerian ini bertanggungjawab terhadap kemajuan masyarakat desa. Untuk itu, warga KKDW mesti memiliki tahap kefahaman dan pengetahuan serta kemahiran dalam segala isu berkaitan kemajuan desa,” katanya. 

Beliau turut melontarkan beberapa pendekatan dan sasaran yang boleh dijadikan sebagai program game-changer dan berimpak tinggi untuk diperhalusi serta dibincangkan, antaranya berkaitan Desa to Global (D2G).

“Ia bermatlamat mengangkat potensi produk dan perkhidmatan usahawan desa untuk dipasarkan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga luar negara,” katanya. – Bernama, 5 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen