SEORANG remaja bersenjatakan pistol dan senapang patah membunuh seorang rakan pelajar sekolah menengah serta mencederakan lima yang lain di Iowa, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Polis menerima laporan mengenai kes tembakan sekitar jam 7.30 pagi dan bergegas ke Perry High School, di mana kelas masih belum bermula.
Menurut penolong pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Iowa, Mitch Mortvedt, mangsa yang maut adalah pelajar gred enam, bermakna mungkin berusia 11 atau 12, tahun dan berkemungkinan besar berada awal di sekolah bagi program sarapan.
Menurutnya, pengetua sekolah Dan Marburger antara mangsa yang cedera dan salah seorang pelajar berada dalam keadaan serius tetapi tidak mengancam nyawa manakala empat lagi pelajar stabil.
Penembak dikenal pasti sebagai Dylan Butler, 17, pelajar Perry High School, dan pihak berkuasa mengesahkan suspek ditemui mati dengan kesan cedera tembakan yang menunjukkan di membunuh diri.
Motif serangan masih disiasat dan Butler dikatakan menghantar beberapa mesej menerusi media sosial sebelum melakukan tembakan rambang itu.
Pihak berkuasa turut menemui bahan letupan buatan sendiri di sekolah berkenaan, yang berjaya dilupuskan.
Terdahulu, satu lagi kes tembakan dilaporkan sehari sebelumnya, di mana seorang remaja berusia 15 tahun menembak seorang lelaki di luar sebuah sekolah menengah di Virginia, namun belum dipastikan sama ada mereka adalah pelajar.
Menurut pangkalan data agensi berita Education Week, kes tembakan di Perry adalah kes tembakan di sekolah kedua tahun ini, yang turut merekodkan 182 kes seumpamanya sejak 2018. – AFP, 5 Januari, 2024.
Komen