Saya sudah lama tidak ke Dubai, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan terbabit dalam Langkah Dubai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2024.

DR Mahathir Mohamad hari ini menafikan dakwaan beliau terlibat dalam rancangan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan yang dikenali sebagai “Langkah Dubai”.

Beliau sebaliknya menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan mengatakan ia kepakaran mereka menubuhkan “kerajaan pintu belakang”.

“Pertamanya saya sudah lama tidak ke Dubai,” kata bekas perdana menteri itu dalam catatan media sosialnya hari ini.

“Keduanya, sepanjang ingatan saya usaha politik langkah-melangkah, kerajaan pintu belakang atau backdoor government adalah kepakaran perdana menteri,” katanya.

Dr Mahathir berkata ramai yang masih ingat pelbagai langkah presiden PKR itu untuk menukar kerajaan, termasuk langkah 16 September 2008 serta “Langkah Kajang” untuk menjadikan presiden PKR ketika itu Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.

“Ada juga langkah yang bersandar kepada I have the numbers dan juga langkah strong, formidable and convincing majority.

“Semuanya adalah langkah-langkah untuk mengambil alih kerajaan secara backdoor.

“Semasa langkah-langkah ini sedang diusahakan ia tidaklah dianggap derhaka, satu pengkhianatan atau akan menyebab kerajaan tidak stabil, merosak ekonomi atau melanggar prinsip demokrasi,” kata Dr Mahathir.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, perbincangan mengenai Langkah Dubai mendapat perhatian selepas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Ismail Yusop berkata dalam catatan Facebook yang satu mesyuarat melibatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan lain-lain diadakan untuk memulakan langkah menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar.

Ismail berkata dalam mesyuarat itu pemimpin PN ditugaskan untuk mengenal pasti ahli Parlimen kerajaan yang boleh dipujuk untuk berpaling tadah.

Susulan itu, pemimpin dan penyokong kerajaan mengecam PN yang melakukan usaha untuk menjatuhkan kerajaan, termasuk membuat gesaan agar perancang ini didakwa di mahkamah. Ada yang menuduh Dr Mahathir turut memainkan peranan dalam langkah itu.

Bagaimanapun, pemimpin PN menafikan wujudnya langkah sedemikian tetapi pada masa yang sama berkata sebarang langkah menukar kerajaan adalah sebahagian daripada proses demokrasi.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir tumbang pada 2020 berikutan “Langkah Sheraton” apabila Bersatu dan beberapa pemimpin PKR berpaling tadah daripada pakatan pemerintah. – 5 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen