DUA kereta api bawah tanah di New York bertembung dalam satu insiden semalam menyebabkan 24 cedera dan mencetuskan kekecohan dalam kalangan penumpang sejurus sebelum waktu puncak di kota itu.
Berpuluh-puluh kenderaan polis dan bomba mengerumuni kawasan itu untuk membantu ratusan penumpang yang terjejas keluar, manakala pengguna lain terpaksa mencari laluan alternatif kerana tiga laluan kereta api bawah tanah mengalami gangguan teruk.
Komander perkhidmatan perubatan kecemasan Ian Swords berkata tiada kematian dilaporkan dan tiada kecederaan serius dalam kalangan 24 yang cedera.
Kawasan perlanggaran terletak di tengah-tengah kejiranan mewah Upper West Side di Manhattan.
“Pada kira-kira 3 petang waktu tempatan, unit kami dimaklumkan mengenai dua kereta api berlanggar,” kata komander bomba Mike Meyers.
“Terdapat gangguan besar kepada perkhidmatan, manakala pasukan kecemasan membantu penumpang dan menjalankan siasatan selepas kereta api tergelincir berhampiran 96th Street,” kata pengendali kereta bawah tanah New York City di X. – AFP, 5 Januari, 2024.
Komen