Kehilangan Bella: Beri ruang siasatan dijalankan, kata polis


PIHAK keluarga dan orang ramai diminta memberi ruang dan kepercayaan penuh kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung seorang ibu tunggal Mira Sharmila Samsusah atau lebih dikenali sebagai Bella yang dipercayai hilang di daerah ini sejak 16 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata siasatan masih dijalankan ke atas kehilangan ibu tunggal anak dua berusia 32 tahun itu dan diharap pihak keluarga dapat bersabar serta menyerahkannya kepada polis.

“Siasatan secara terperinci akan dilakukan dari setiap sudut dan ada beberapa perkara yang kami tidak boleh dedahkan agar ia tidak menganggu siasatan polis.

“Sebelum ini polis ada menahan seorang pemuda berusia 24 tahun yang dipercayai teman lelaki wanita itu, namun dibebaskan dengan jaminan polis dan tidak mustahil akan memanggilnya sekiranya perlu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Setakat ini Ismail berkata lima individu direkod keterangan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Sementara itu kakak mangsa Norhisham, 36, ketika ditemui menyatakan keluarganya mengharapkan agar Bella dapat ditemui walau apa juga keadaannya.

Menurutnya hingga kini banyak pihak menghubungi mereka sekeluarga dan menawarkan diri untuk membantu mencari Bella dengan pelbagai kaedah.

“Alhamdulilah satu Malaysia prihatin dengan kehilangan adik saya hinggakan saya dihubungi oleh mereka yang berada di Sabah dan bersedia datang ke sini (Batu Pahat) untuk membantu mencari Bella.

“Kami sekeluarga juga bertemu beberapa ustaz bagi mendapatkan pandangan mereka namun dalam masa yang sama menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan hingga Bella ditemui,” katanya.

Terdahulu Bella yang mempunyai dua anak berusia dua dan empat tahun dilaporkan hilang selepas didakwa keluar bersama teman lelakinya ke sebuah kedai dobi di daerah ini dengan laporan polis dibuat ahli keluarganya pada 16 Disember lepas. – Bernama, 3 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen