Bekas hakim dipenjara sehari, denda RM12,000 selepas hukuman dikurangkan


MAHKAMAH Tinggi Shah Alam mengurangkan hukuman penjara seorang bekas hakim Mahkamah Sesyen yang didapati bersalah menerima rasuah berhubung prosiding mahkamah daripada enam bulan kepada sehari.

Hakim Hasbullah Adam turut mengurangkan jumlah denda yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 19 Oktober 2022 terhadap bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu Azmil Muntapha Abas, 50, daripada RM25,000 kepada RM12,000 selepas membenarkan rayuannya.

Bagaimanapun Hakim Hasbullah menolak rayuan perayu untuk mengetepikan sabitan terhadapnya selepas mendapati tidak wujud alasan bermerit untuk mengganggu gugat dapatan serta keputusan hakim Mahkamah Sesyen berkenaan sabitan kesalahan menurut Seksyen 316 Kanun Tatacara Jenayah.

“Oleh itu, sabitan tersebut adalah selamat,” kata hakim itu menerusi alasan penghakiman yang dikeluarkan pada 29 Dis.

Hakim Hasbullah mengetepikan hukuman yang dikenakan oleh hakim Mahkamah Sesyen dan digantikan dengan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 jika gagal membayar denda dipenjara tiga bulan itu selepas mendapati terdapat merit dalam rayuan perayu.

Beliau berkata kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya namun tiada peruntukan mandatori pemenjaraan wajib diberikan.

“Elemen utama kesalahan ialah menerima suatu barang berharga tanpa balasan. Berbeza dengan pertuduhan kesalahan utama iaitu Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan,” katanya.

Selain itu Hakim Hasbullah berkata mahkamah juga mengambil kira peranan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam yang juga saksi pendakwaan keempat (SP4) Ahmad Feisal Mohd Azmi sebagai temptation (tawaran) kepada perayu dengan menawarkan wang.

“Peranan aktif SP4 yang memastikan pemberian tersebut (wang) terlaksana walaupun perayu mengatakan tidak dapat mempersetujui kadar hukuman yang dicadangkan,” katanya dan menambah mahkamah juga mengambil kira tempoh perkhidmatan Azmil Muntapha selaku hakim selama 17 tahun sejak 2001 hingga 2018.

Mengikut pertuduhan Azmil Muntapha sebagai Hakim Mahkamah Sesyen memperoleh wang tunai sebanyak RM5,000 tanpa suatu balasan pada 8.22 malam yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

Enam OKT tersebut ialah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Azmil Muntapha menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.

Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, Shah Alam pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – Bernama, 3 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen