KERAJAAN negeri Johor akan melancarkan Program Semarak Subuh di setiap masjid dan surau bermula Jumaat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata inisiatif itu melibatkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh negeri pada setiap subuh Jumaat sepanjang tahun ini.
“Program itu juga akan diziarahi oleh Adun atau wakilnya bagi yang bukan beragama Islam bersama-sama kepimpinan tertinggi kerajaan negeri Johor, mengikut lokaliti dan zon masing-masing.
“Ini termasuklah pentadbiran kerajaan negeri di peringkat daerah dan juga mukim,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Fared turut menyeru kepada seluruh Bangsa Johor yang beragama Islam agar hadir beramai-ramai untuk sama-sama mengimarahkan masjid dan surau dengan pelbagai aktiviti kerohanian, selain program berkenaan.
Program Semarak Subuh merupakan inisiatif Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi yang menyasarkan pelaksanaannya di 56 kawasan DUN dengan peruntukan berjumlah RM560,000. – Bernama, 3 Januari, 2024.
Komen