PASUKAN penyelamat Jepun hari ini masih berusaha mencari mangsa terselamat ketika pihak berkuasa memberi amaran mengenai tanah runtuh dan hujan lebat selepas gempa bumi kuat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 55 orang.
Gempa bumi berukuran 7.5 magnitud kelmarin menggegarkan wilayah Ishikawa di Honshu, mencetuskan gelombang tsunami setinggi lebih 1 meter, selain insiden kebakaran besar dan kerosakan jalan raya.
Semenanjung Noto, adalah wilayah paling terjejas, dengan ratusan bangunan musnah akibat kebakaran dan runtuhan.
Pihak berkuasa wilayah malam tadi mengumumkan 55 mangsa disahkan maut dan 22 cedera parah.
Bagaimanapun angka korban dijangka meningkat ketika pasukan penyelamat terus berdepan kesukaran untuk mengalihkan runtuhan disebabkan gegaran susulan dan cuaca buruk.
Lebih 31,800 mangsa berada di tempat perlindungan.
Pentadbiran Perdana Menteri Fumio Kishida akan mengadakan mesyuarat pasukan petugas kecemasan pagi ini untuk membincangkan tindak balas susulan.
Syarikat utiliti tempatan memaklumkan, hampir 34,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik di Ishikawa.
Banyak bandar turut terputus bekalan air.
Menurut laporan kerajaan Jepun tahun lalu, jumlah gempa bumi di wilayah semenanjung Noto sudah meningkat secara berterusan sejak 2018.
Negara itu pernah berdepan gempa bumi besar 9.0 magnitud di timur laut Jepun pada 2011 yang mencetuskan tsunami, sehingga menyebabkan kira-kira 18,500 maut atau hilang.
Ia turut membanjiri loji atom Fukushima, menjadikan ia antara bencana nuklear terburuk di dunia. – AFP, 3 Januari, 2024.
Komen