Najib terima AS$681 juta disyaki wang rasuah beli undi PRU13, kata pegawai penyiasat


– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2024.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu Najib Razak menerima AS$681 juta daripada Tanore Finance Corporation disyaki wang rasuah yang digunakan bekas perdana menteri itu untuk membeli undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin yang juga Pegawai Penyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata wang itu diterima melalui Falcon Private Bank Singapore yang dideposit ke dalam akaun AmPrivate Banking milik Najib sekitar 2013.

Tanore Finance Corporation adalah syarikat milik Eric Tan iaitu sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Nur Aida yang bertugas di Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya berkata aduan mengenai kemasukan wang itu diterima pada 4 Mei 2015 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Isi kandungan aduan tersebut antara lain menyatakan Najib sebagai pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan menteri kewangan menerima suapan melalui dana awam pelaburan 1MDB berjumlah RM3.2 bilion untuk kepentingan peribadi beliau,” kata saksi pendakwaan ke-49 itu.

Nur Aida berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Saksi itu berkata fokus siasatan adalah berhubung jumlah kemasukan wang yang sangat besar ke dalam dua akaun peribadi Najib di antara 2011 dan 2014.

“Ia berhubung Datuk Seri Najib yang dikatakan menggunakan kedudukan beliau bagi mendapat suapan dan sepanjang tempoh tersebut, beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan juga pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Saya menjalankan siasatan berdasarkan dokumen yang diperoleh daripada beberapa pihak antaranya Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Najib, 70 yang menjadi perdana menteri pada 3 April 2009 dilantik semula menyandang jawatan itu pada 6 Mei 2013 selepas Barisan Nasional memenangi 133 kerusi Parlimen pada PRU13.

Beliau berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – Bernama, 2 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen