TENTERA Israel memberi amaran kepada pejuang Hamas bahawa serangan mereka akan berterusan sepanjang 2024.
Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant bertemu tentera di Gaza semalam dan berikrar dalam satu kenyataan bahawa “kehidupan akan kembali kepada haluannya” bagi penduduk komuniti sempadan yang terjejas dalam serangan Hamas pada 7 Oktober yang mencetuskan perang.
Di selatan Semenanjung Gaza, rakaman AFPTV menunjukkan asap berkepul-kepul selepas serangan ke atas Rafah dan rakyat Palestin di utara termasuk kanak-kanak yang cedera dalam serangan di Khan Yunis dibawa ke hospital Nasser di bandar itu.
Di tengah Gaza penduduk Deir al-Balah sedang memeriksa kerosakan dan mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan.
Jurucakap tentera Israel Daniel Hagari berkata tentera sedang bersiap sedia untuk “pertempuran berpanjangan” yang akan datang “sepanjang tahun ini”.
Beliau kemudian berkata beberapa daripada 300,000 askar simpanan Israel akan dibebaskan secara “berperingkat”.
Tembakan artileri berat dan serangan udara dilaporkan di seluruh wilayah itu dengan kementerian kesihatan di sana berkata 15 mayat daripada keluarga yang sama ditemui semalam dari runtuhan rumah yang dibom di Jabalia di utara Gaza.
“Ia adalah tahun paling teruk dalam hidup kami,” kata Sami Hamouda, 64, kepada AFP.
“Setiap hari baru adalah seperti hari sebelumnya: pengeboman, kematian dan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.
Ketika pertempuran berkecamuk di Semenanjung Gaza yang dikendalikan Hamas, mahkamah tertinggi Israel semalam mengeluarkan keputusan terhadap komponen utama rombakan kehakiman kontroversial kerajaan yang mendapat bantahan besar-besaran sebelum perang.
Kabinet perang Perdana Menteri Benjamin Netanyahu termasuk bekas penentang yang bersetuju untuk menyertai dengan syarat gabungan itu membekukan agenda reformasi yang memecahbelahkan.
Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas dan melancarkan serangan ke atas Gaza serta membunuh sekurang-kurangnya 21,978 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.
Tentera Israel berkata 173 tentera terbunuh di Gaza dalam pertempuran menentang kumpulan pejuang Islam yang disifatkan oleh Israel, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah sebagai organisasi pengganas. – AFP, 2 Januari, 2024.
Komen