Kontraktor rugi RM140,000 pelaburan Bitcoin tidak wujud


WANG simpanan seorang kontraktor berjumlah RM146,313.60 lesap dalam tempoh tiga hari selepas diperdaya sindikit pelaburan Bitcoin yang tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Arshad Abu berkata ia bermula apabila lelaki berusia lingkungan 30-an itu menyertai skim pelaburan dikenali sebagai MIT Investment yang diiklankan di Facebook pada 26 Disember lalu, menawarkan tiga pakej pelaburan Bitcoin dikenali sebagai basic, premium serta gold.

Beliau berkata bagi pakej basic, modal yang diperlukan untuk membuat pelaburan Bitcoin adalah RM300 dan pelabur kononnya akan mendapat pulangan pelaburan antara RM8,000 hingga RM12,000 dalam masa tiga jam.

Bagi pakej premium pula, modal yang diperlukan adalah RM1,000 dengan tawaran pulangan pelaburan antara RM18,000 hingga RM25,000 dalam tempoh enam jam, manakala bagi pakej gold modalnya RM1,800 dengan pulangan antara RM30,000 hingga RM50,000.

Arshad berkata susulan terpedaya dengan tawaran lumayan, lelaki itu kemudiannya membuat 12 transaksi pemindahan wang ke sembilan akaun bank yang diberi suspek berjumlah RM146,313.60 dalam tempoh tiga hari bermula Rabu lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini Arshad berkata, lelaki itu membuat laporan polis di Balai Polis Rumbia dekat Alor Gajah, Melaka semalam, selepas menyedari ditipu apabila dia tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada pelaburannya itu.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tawaran skim pelaburan terlalu lumayan yang ditawarkan dalam talian dan dinasihatkan segera menelefon Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 (apabila merasakan tertipu) agar wang yang dipindahkan ke akaun sindiket penipuan dapat disekat dengan pantas,” katanya. – Bernama, 31 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen