BEKAS menteri kewangan Daim Zainuddin disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah Malaysia dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Haram 2001 (AMLATFPUAA), kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Membetulkan fakta berhubung dakwaan Daim yang berkata siasatan agensi anti rasuah terhadapnya dan keluarganya adalah bermotifkan politik, SPRM berkata siasatan terhadap Daim yang juga menteri kewangan dari 1984 hingga 1991, bermula Februari tahun ini, berdasarkan kepada maklumat daripada Kertas Pandora.
Kertas Pandora merujuk kepada dokumen kewangan yang mendedahkan aktiviti kewangan luar pesisir ahli politik, selebriti, pemimpin perniagaan dan individu berpengaruh di seluruh dunia.
Maklumat terbocor itu kali pertama dilaporkan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) pada Oktober 2021.
SPRM berkata sebagai sebahagian daripada siasatan, pada 7 Jun satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) diserahkan kepada Daim bagi mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai, 10 Ogos , 11 September, 11 Oktober dan yang terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.
“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember lalu, di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih),” katanya.
SPRM tidak pernah setakat ini mengeluarkan sebarang dakwaan rasmi mendakwa Daim melakukan sebarang kesalahan, katanya.
Ia menyatakan berdasarkan prinsip undang-undang “anggapan tidak bersalah” seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya, dan individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah.
Menolak dakwaan siasatan itu didorong secara politik, SPRM menekankan ia sebuah suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas. – 30 Disember, 2023.
Komen