Cabaran terbesar kerajaan adalah urus perbezaan antara parti, kata Loke


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata cabaran terbesar Kerajaan Perpaduan adalah menguruskan perbezaan antara parti berlainan dan menyatupadukan seluruh tenaga ke arah matlamat yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2023.

CABARAN terbesar Kerajaan Perpaduan adalah menguruskan perbezaan antara parti berlainan dan menyatupadukan seluruh tenaga ke arah matlamat yang sama, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Beliau berkata pemimpin utama DAP dan anggota Jemaah Menteri parti itu menyedari hakikat tersebut.

“Percanggahan pendapat dalam isu tertentu akan timbul dari semasa ke semasa. Ini merupakan lumrah dalam dunia politik dan sistem demokrasi. Kita perlu bertenang dalam menguruskan sebarang keadaan dan sentiasa berpegang kepada semangat permuafakatan.

“Semua dasar kerajaan dan keputusan penting hanya boleh diputuskan melalui perbincangan mesyuarat Jemaah Menteri dan konsensus dicapai oleh semua parti yang membentuk kerajaan pada hari ini. Tidak ada parti yang boleh mendominasi parti yang lain dalam apa jua keputusan,” katanya dalam mesej Tahun Baharu 2024 di laman Facebook hari ini.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata beliau berpegang teguh kepada prinsip tanggungjawab bersama di samping mengulangi pendirian dan fokus Perdana Menteri Anwar Ibrahim iaitu 2024 is all about economy! economy! economy.

Justeru beliau bertekad untuk terus memainkan peranan konstruktif memperkukuh kerjasama dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan serta menyumbang tenaga dalam penyampaian prestasi kerajaan di Kementerian Pengangkutan.

Loke turut mengulangi komitmen DAP bahawa peranan dan tanggungjawab anggota parti itu dalam kerajaan ialah menjamin kestabilan politik, memastikan keharmonian antara kaum serta membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Mengimbau perjalanan Kerajaan Perpaduan sepanjang 2023, beliau berkata pelbagai dasar dan hala tuju negara termasuk kerangka Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian serta Dasar Peralihan Tenaga digubal dan diumumkan untuk pelaksanaan manakala iklim pelaburan kembali rancak, keyakinan pelabur terhadap masa depan ekonomi Malaysia kian meningkat, dasar luar dan peranan Malaysia di pentas antarabangsa lebih terserlah serta makin diberi perhatian oleh kuasa besar.

Loke berkata di bawah Kerajaan Perpaduan, hubungan dua hala dengan negara jiran di Asean dan Asia Timur turut diperkuat dan membantu pertumbuhan perdagangan yang lebih agresif.

“Semua petunjuk ini membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat berfungsi dengan baik dan berkesan.

“Proses pembinaan semula negara sedang berjalan lancar dan dengan iltizam yang tinggi, lebih banyak perancangan kerajaan dapat diterjemahkan dalam tindakan bersepadu serta pelaksanaan secara tuntas pada tahun 2024,” katanya. – Bernama, 29 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen