Tak peduli masalah FGV, peneroka Felda Sayong terus sokong Umno


Muzliza Mustafa

Perdana Menteri Najib Razak menyampaikan bonus kepada peneroka yang hadir pada majlis berbuka puasa di Felda Sayong, Johor semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 11 Jun, 2017.

MEREKA enggan bercakap mengenai keadaan huru-hara yang melanda Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) dan tidak juga mahu mengulas mengenai jaminan Perdana Menteri Najib Razak yang isu ini akan diselesaikan sebelum Hari Raya.

Satu-satunya perkara yang peneroka di Felda Sayong ingin katakan mengenai isu itu adalah mereka sudah memberitahu pemimpinnya sebelum ini yang Pengerusi FGV Isa Samad perlu meletakkan jawatan kerana beliau menimbulkan banyak isu sejak zaman menjadi menteri besar.

Dan walaupun berdepan isu FGV, peneroka di Felda Sayong yang ditemui The Malaysian Insight malam tadi berkata: Kami berterima kasih kepada Umno atas semua yang mereka lakukan.

“Saya bayar RM1 dan mendapat 10 ekar tanah hampir 40 tahun lalu. Pendapatan yang saya terima itulah yang memberi makan kepada lapan anak saya. Jika tidak kerana Umno, saya tidak akan mempunyai semua ini,” katanya.

Ibu tunggal dari Felda Simpang Waha itu adalah antara ribuan peneroka yang menghadiri majlis berbuka puasa bersama Najib di Felda Sayong malam tadi.

Beliau adalah generasi pertama peneroka di kawasan itu.

“Kami hanya kelas pekerja. Kami bekerja untuk memberi makan kepada diri sendiri. Biar orang lain uruskan masalah di FGV. Saya yakin perkara itu akan diselesaikan,” kata wanita berusia 60-an itu.

Beliau tidak sedikitpun mengambil berat mengenai saham dibelinya di FGV. Dia mengambil pinjaman RM10,000 dan membayar secara bulanan kira-kira RM50.

Wanita itu tidak tahu berapa lama tempoh penyelesaian pinjaman itu.

“Ia ada dalam perjanjian itu tetapi saya memberi perhatian mengenainya,” kata beliau, sambil menambah RM50 yang dibayar setiap bulan bukanlah jumlah yang besar.

Sebelum ini dilaporkan setiap peneroka menerima 800 saham dan akan mengambil masa sehingga enam tahun bagi mereka untuk membayar habis pinjaman.

Bagaimanapun bagi peneroka, apa yang dibayar tidak banyak berbanding dengan apa yang diperoleh daripada Felda dan FGV, sambil mengakui terhutang budi kepada kerajaan dengan apa yang dimiliki sekarang.

Pakatan pembangkang, yang diketuai oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad turun padang, mengadakan ceramah di kawasan Felda dan kawasan bandar di seluruh negara, menggesa pengundi memecat pentadbiran Najib pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, ia tidak mempunyai kaitan sama sekali kepada peneroka lain yang berkata sering berdebat dengan anak-anaknya yang menentang kerajaan.

“Tanpa Felda, saya tidak akan dapat memberi mereka makan, menyekolahkan mereka. Apa yang mereka kecapi sekarang semuanya kerana Felda, Umno. Saya akan terus menyokong parti. Hati saya masih bersama parti walaupun apa sahaja krisis yang dihadapinya sekarang,” katanya.

Seorang lagi peneroka bersetuju yang Umno perlu kekal berkuasa dan akan terus mendapat sokongan daripada peneroka Felda.

Beliau bagaimanapun berkata, beberapa pemimpin seperti Isa perlu pergi.

Peneroka itu berkata ramai tidak berpuas hati dengan cara Isa mengendalikan FGV.

“Pemimpin tidak baik ada dalam setiap parti politik. Ia bukan kesalahan parti tetapi individu. Akhirnya, anda perlu membuat keputusan siapa anda mahu pilih sebagai pemimpin.

“Bagi saya, parti pilihan saya tetap Umno. Kenapa? Saya mahu Melayu sebagai ketua saya. Apa jaminan pembangkang seperti Bersatu boleh beri? Saya lebih rela mengundi PAS jika bukan Umno,” katanya.

Majlis berbuka malam tadi dihadiri kira-kira 5,000 orang, termasuk pelajar sekolah dan peneroka daripada penempatan Felda berhampiran.

Mereka datang dengan bas seawal jam 6 petang, menjangkakan pemberian Hari Raya dari Felda dan FGV.

Bonus yang diterima lebih sedikit berbanding tahun lepas iaitu RM500, manakala tahun ini berjumlah RM780.

Saham FGV menjunam sebanyak 30% minggu ini selepas lembaga mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Zakaria Arshad dan tiga yang lain bercuti sementara menunggu siasatan dalaman mengenai percanggahan dalam urusan antara FGV anak syarikatnya dengan firma Afghanistan, Safitex.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kini juga menyiasat dakwaan salah guna kuasa dan rasuah dalam FGV. – 11 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen