PM gesa kerjasama jentera kerajaan pusat dan negeri hadapi banjir


Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud mendengar taklimat ringkas berkaitan perkembangan terkini situasi banjir dan pengoperasian pasukan keselamatan di Kelantan. – Gambar Facebook, 29 Disember, 2023.

KERJASAMA antara semua jentera kerajaan pusat dan negeri sangat dituntut dalam menghadapi musibah banjir termasuk di Kelantan, kata Perdana Menteri  Anwar Ibrahim. 

“Alhamdulillah, kerjasama kedua-dua pihak ketika ini telah menjadikan proses membantu mangsa banjir berjalan lancar demi keselesaan rakyat,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook malam tadi.

Perdana menteri berkata beberapa projek baharu turut diumumkan dalam lawatannya ke Pasir Mas hari ini sebagai langkah mengatasi masalah banjir iaitu meluluskan pembinaan benteng sementara bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta. 

Selain itu, kerajaan Kelantan bersetuju segerakan proses pengambilan tanah bagi projek PLSB Sungai Golok Fasa 2 serta proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM910.52 juta akan dimulakan tahun depan.

“Moga segala dirancang ini bermanfaat dan membantu menyelesaikan masalah banjir yang berlaku,” katanya. – Bernama, 29 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen