Peruntukan RM50 juta untuk mangsa banjir Kelantan, kata PM 


Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada mangsa banjir di Kelantan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada mangsa banjir di Kelantan yang terjejas akibat tiga gelombang bencana alam itu sejak November lepas.

Beliau berkata setiap keluarga akan menerima RM1,000 manakala bantuan tambahan akan dibuat berdasarkan penilaian terhadap kerosakan dan kerugian yang disahkan oleh pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan.

“Bagi mangsa yang di pusat pemindahan sementara (PPS) dan kawasan lain, kita luluskan dengan peruntukan awal melalui Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) RM50 juta itu, terus kepada penduduk atau keluarga terlibat.

“Insya-Allah kita akan lebih kurang.. kerana telah dimaklumkan oleh Menteri Besar Kelantan tadi (bahawa) ada keluarga yang dah tiga kali hadapi masalah banjir dan kerosakan yang sangat berat dihadapi, itu insya-Allah kita akan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama (A) Lati di Kampung Banggol Manok, di Pasir Mas hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Turut hadir Ketua Pengarah Nadma Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Dr Ahmad Anuar Othman.

Setakat pukul 3 petang ini, PPS SMK (A) Lati menempatkan 700 mangsa daripada 218 keluarga daripada kawasan Gual Mesa, Taman Alia Puteri, Berangan Ampan Kepas dan Taman Kelapa Wangi.– Bernama, 28 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen