PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan mengecam rejim Zionis pimpinan Benjamin Netanyahu yang terus-menerus melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin dengan menyamakan perdana menteri Israel itu dengan Adolf Hitler.
Erdogan juga menyamakan serangan Israel ke atas Gaza dengan layanan Nazi terhadap Yahudi.
Erdogan berkata kekejaman dilakukan Netanyahu tiada bezanya dengan apa dilakukan diktator Nazi Jerman, Hitler.
Erdogan berkata demikian ketika berucap pada satu program di Ankara, malah beliau mengulangi kritikannya berkaitan sokongan Barat terhadap Israel.
Katanya, Turki bersedia untuk mengalu-alukan ahli akademik dan saintis yang menghadapi penganiayaan kerana pandangan mereka terhadap konflik di Gaza.
“Tiada beza apa yang dilakukan Netanyahu dengan Hitler. Adakah apa yang dilakukan Netanyahu kurang daripada Hitler? Dia menerima sokongan Barat. Pelbagai sokongan datang dari Amerika Syarikat.
“Dengan semua sokongan ini, apa yang mereka lakukan kepada lebih 20,000 penduduk Gaza? Mereka membunuh rakyat Gaza,” kata Erdogan. – AFP, 28 Disember, 2023.
Komen