Petronas jamin bekalan diesel di semua stesen minyak pulih dalam masa 2 hari


Pada Selasa, syarikat itu memaklumkan beberapa stesennya di seluruh negara sedang menghadapi kehabisan stok diesel sehingga 31 Disember. – Gambar AFP, 28 Disember, 2023.

PETRONAS Dagangan Bhd mengumumkan bekalan diesel di stesen-stesen Petronas yang terjejas di seluruh negara akan pulih sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas Dagangan berkata pemulihan semula bekalan akan dilakukan dalam tempoh dua hari lagi.

“Kami kekal komited untuk memberikan perkhidmatan tanpa gangguan kepada pelanggan kami dan menjadikan kehidupan harian mereka lebih mudah dan bermanfaat. Kami amat menghargai kesabaran dan kerjasama anda sepanjang tempoh gangguan ini,” katanya.

Pada Selasa, syarikat itu memaklumkan beberapa stesennya di seluruh negara sedang menghadapi kehabisan stok diesel, dan isu berkenaan dijangka berterusan sehingga 31 Disember 2023.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak berkata pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat daripada Petronas mengenai gangguan bekalan yang menjejaskan hampir semua stesen minyaknya di negeri itu dan juga di Sabah.

KPDN Sarawak menambah, melalui Bahagian Penguatkuasaannya, ia giat menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berterusan di semua stesen minyak. – Bernama, 28 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen