PASUKAN Palang Merah Indonesia (PMI) di Kaherah, Mesir, sedang menyediakan kumpulan kedua bekalan bantuan kemanusiaan berupa makanan, selimut, ubat-ubatan dan peralatan kesihatan untuk penduduk di Gaza, Palestin, lapor ANTARA.
“Ini adalah hasil pertemuan PMI dengan pihak berkuasa Bulan Sabit Merah Mesir, Bulan Sabit Palestin, Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir serta Hospital Palestin pada 24 Disember di Ibu Pejabat Bulan Sabit Merah Mesir di Kaherah,” menurut ketua pasukan PMI Misi di Gaza, Arifin M. Hadi ketika dihubungi melalui panggilan telefon semalam.
Berdasarkan penilaian dan data hasil mesyuarat itu, keperluan makanan, pakaian dalam bentuk selimut, ubat-ubatan dan peralatan kesihatan merupakan keutamaan untuk warga Gaza.
Sementara itu, Setiausaha Agung PMI A. M. Fachir berkata di Jakarta bantuan makanan dan kesihatan itu diharap dapat memenuhi keperluan asas penduduk Gaza.
“Ini adalah bantuan kumpulan kedua kami selepas penghantaran kumpulan pertama bantuan berupa kit keluarga, kit kebersihan, kit bayi, pelitup muka serta peralatan kesihatan melalui kerajaan Indonesia yang diselaraskan oleh Kementerian Luar,” menurut Fachir.
Konflik yang berterusan di Gaza menyebabkan beberapa hospital kekurangan bekalan peralatan perubatan, ubat-ubatan dan kekurangan makanan dan air minuman untuk penduduk yang hilang tempat tinggal, kakitangan perubatan, pesakit dan mangsa.
Selain itu, lebih 14,000 pelarian menumpang di sekitar hospital itu selama lebih tiga minggu.
Jumlah yang dilaporkan hilang juga meningkat berikutan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa daripada bangunan runtuh.
Di Kaherah, pasukan PMI melaksanakan pelarasan secara intensif dengan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai pihak berkuasa rasmi yang dilantik oleh Kerajaan Mesir, untuk mengagihkan bantuan ke Gaza dan Kedutaan Indonesia di Kaherah. – Bernama, 27 Disember, 2023.
Komen