Zahid akan bantah permohonan Majlis Peguam cabar keputusan DNAA


Peguam Guok Ngek Seong, yang mewakili Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya akan memfailkan afidavit dan hujahan untuk membantah permohonan tersebut sebelum 11 Januari depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2023.

AHMAD Zahid Hamidi akan membantah permohonan Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan peguam negara memberhentikan prosiding terhadap beliau pada 4 September lepas.

Peguam Guok Ngek Seong, yang mewakili timbalan perdana menteri itu, berkata pihaknya akan memfailkan afidavit dan hujahan untuk membantah permohonan tersebut sebelum 11 Januari depan.

“Prosiding pendengaran permohonan Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman tersebut ditetapkan pada 11 Januari 2024 di hadapan Hakim Amarjeet Singh.

“Sama ada peguam negara juga akan membantah permohonan semakan kehakiman itu akan diketahui pada prosiding pendengaran permohonan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan prosiding terhadap beliau.

Melalui permohonan difailkan pada 2 Disember lepas, Majlis Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Zahid sebagai responden memohon perintah supaya keputusan itu dibatalkan.

Ia turut memohon deklarasi bahawa keputusan itu adalah batal dan tidak sah selain dibuat melebihi bidang kuasa serta kuasa yang diberikan kepada peguam negara mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Majlis Peguam juga memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan Peguam Negara bertindak mengikut undang-undang di bawah Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah dengan mendakwa semula Zahid.

Turut dimohon perintah agar peguam negara membekalkan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butir-butir yang menyebabkan keputusan bagi memohon DNAA itu dicapai kepada Majlis Peguam.

Majlis Peguam mendakwa peguam negara bertindak secara ultra vires ketika memohon DNAA terhadap Zahid dan keputusan itu juga adalah tidak munasabah atau rasional. – Bernama, 26 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen