PENGELUAR kereta dari Jepun, Daihatsu menggantung semua pengeluaran domestiknya selepas syarikat milik Toyota itu berdepan skandal ujian keselamatan besar-besaran.
Firma yang mempunyai kira-kira 9,000 pekerja di Jepun menutup empat kilang domestik terakhirnya, kata jurucakap Daihatsu kepada AFP hari ini.
“Pengeluaran akan digantung sehingga Januari. Kami tidak dapat memaklumkan bila pengeluaran domestik kami boleh disambung semula,” kata jurucakap itu.
Menurut firma penyelidikan swasta, langkah tersebut boleh menjejaskan lebih 8,000 syarikat di seluruh negara.
Minggu lalu, syarikat itu memaklumkan ia memanipulasi ujian keselamatan sejak sekurang-kurangnya 1989 membabitkan 64 model termasuk beberapa kereta menggunakan jenama Toyota yang digantung ketika ini.
Pada April lalu, Daihatsu memaklumkan firma itu memalsukan keputusan ujian kemalangan bagi empat modelnya, melibatkan sejumlah 88,000 kenderaan buatan Thailand dan Malaysia pada 2022 dan 2023.
Pada Mei, syarikat tersebut mengumumkan akan menghentikan pengeluaran dua model kenderaan hibrid di Jepun susulan “penyelewengan” yang sama, termasuk model SUV Toyota Raize, yang dikeluarkan bagi syarikat induknya.
Ditubuhkan pada 1907 untuk mengeluarkan enjin pembakaran dalaman, Daihatsu yang berpangkalan di Osaka melancarkan kenderaan tiga roda pertamanya pada 1931, sebelum diambil alih oleh Toyota pada 1967. – AFP, 26 Disember, 2023.
Komen