16 maut dalam serangan di Nigeria


Anggota keselamatan dikerahkan ke kawasan tengah Nigeria bagi menghalang lebih banyak serangan bersenjata berlaku. – Gambar AFP, 25 Disember, 2023.

ENAM belas orang terbunuh dalam serangan di tengah Nigeria, di mana pertempuran antara penternak dan petani sering berlaku, kata tentera pada Ahad.

Serangan itu berlaku pada tengah malam Sabtu di sebuah kampung di Mushu, Negeri Plateau, kata Kapten Oya James kepada AFP.

“Kami sedang tidur apabila terdengar bunyi tembakan kuat,” kata Markus Amorudu, seorang penduduk kampung itu.

“Kami takut kerana tidak menjangkakan serangan itu. Kami bersembunyi tetapi penyerang menangkap ramai orang, ada yang dibunuh, ada yang cedera,” katanya kepada AFP.

Kawasan itu terletak di garisan pemisah antara kawasan utara majoriti penduduk Islam dan kawasan selatan majoriti penduduk Kristian dan sejak bertahun-tahun terheret dalam ketegangan kaum dan agama.

Tidak dapat dipastikan sebab serangan terbaru dan pihak bertanggungjawab.

Anggota keselamatan dikerahkan bagi menghalang lebih banyak pertempuran di kawasan itu, yang sering berlaku pembunuhan antara penternak yang kebanyakannya orang Islam dan petani yang kebanyakannya orang Kristian dan membawa kepada serbuan kumpulan bersenjata di kampung.

Gabenor Negeri Caleb Mutfwang mengecam serangan itu sebagai “kejam dan tidak patut berlaku” dan berikrar untuk mengheret pihak bertanggungjawab ke mahkamah, kata jurucapa Gyang Bere kepada wartawan.

“Langkah proaktif akan diambil kerajaan bagi mengekang serangan berterusan ke atas rakyat tidak berdosa,” katanya. – AFP, 25 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen