Perwakilan Amanah mahu perbuatan 'takfiri' dibanteras


Usul dibawa perwakilan Kubang Pasu Asri Bahrom diterima sebulat suara pada Konvensyen Nasional Amanah di Klang, Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2023.

PERWAKILAN Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini meluluskan usul supaya pemikiran “takfiri” iaitu perbuatan seseseorang yang mudah menuduh orang lain keluar daripada Islam (kafir) dalam kalangan individu dan parti politik, dibanteras sepenuhnya daripada berleluasa di negara ini.

Usul yang dibawa perwakilan Amanah Kawasan Kubang Pasu Asri Bahrom itu diterima sebulat suara pada Konvensyen Nasional Amanah yang dihadiri hampir 1,000 perwakilan di Klang, Selangor.

Asri ketika membentangkan usul berkenaan turut mengemukakan empat langkah untuk menangani pemikiran berkenaan yang mengkafirkan sesama umat Islam sehingga menimbulkan perbalahan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Beliau berkata empat langkah itu termasuk mendesak kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa agama dan agensi berkaitan di negara ini mengambil tindakan tegas dan keras terhadap individu atau parti politik yang secara terang-terangan menyebarkan serta membawa fahaman takfiri.

“Saya mendesak Parlimen mengkaji semula atau menggubal undang-undang serta akta yang boleh menjadi punca kuasa melaksanakan penguatkuasaan berkaitan penyebaran pemahaman itu.

“Saya juga meminta Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi merangka kurikulum yang memberi kefahaman dan pengetahuan yang betul berkaitan perkara yang merosakkan akidah ini,” katanya.

Untuk tujuan itu, beliau juga meminta kerajaan membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkepentingan untuk turut serta dalam proses penggubalan dasar dalam menangani masalah takfiri.

Sementara itu, semasa sesi perbahasan, perwakilan Kuala Pilah Khairul Azidi turut mencadangkan Perintah Kawalan Politik (PKP) dilaksanakan terhadap pihak yang membawa pemikiran takfiri supaya perbuatan itu dapat dihalang seterusnya memelihara kesucian agama Islam.

“Wabak takfiri ini lebih bahaya daripada Covid-19 yang membuatkan Islam terancam serta lebih parah menyebabkan masyarakat (solat) berjemaah satu kampung tetapi dua imam. Kerajaan mesti melaksanakan PKP dan hentikan golongan yang berlagak seolah-olah memegang kunci syurga dan neraka,” katanya.

Wakil Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) Soraya Salim ketika perbahasan usul itu pula mahu kerajaan segera membentangkan Rang Undang-Undang Antikebencian Kaum dan Agama yang tertangguh sekian lama bagi membendung fahaman takfiri dan ekstremisme di dalam negara majmuk.

“Rang undang-undang ini satu undang-undang komprehensif yang kita lihat tidak bersikap drakonian tetapi lebih bersifat untuk mengawal dan mewujudkan suasana kondusif untuk iklim politik di Malaysia,” katanya.

Pada konvensyen hari ini, Amanah turut meluluskan tiga usul lain iaitu mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya memulakan proses persempadanan semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, menggesa kerajaan segera meluluskan Rang Undang-undang Profesion Pekerja Sosial dan solidariti bersama rakyat Palestin. – Bernama, 24 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen