Rain Town terima sambutan positif di luar negara


Filem Rain Town bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 8 Februari tahun depan. – Gambar Current Pictures Sdn Bhd, 24 Disember, 2023.

SELEPAS berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa menerusi filem “Redha”, Tunku Mona Riza Tunku Khalid kali ini tampil lebih berani dengan mengetengahkan  satu lagi karya baharu arahannya berjudul “Rain Town”.

Uniknya filem terbaharu yang diarahkan oleh sutradara alumni Akademi Filem New York itu dibawa ke layar perak dalam bahasa Kantonis walaupun hakikatnya beliau sendiri kurang fasih dalam bahasa itu dan terpaksa ditemani oleh jurubahasa sepanjang menjalani pengambaran filem itu di Taiping, Perak.

“Saya sukakan cabaran baharu…dan saya bukan nak melupakan Bahasa Melayu tetapi adalah bagus untuk menggunakan bahasa lain kerana ia baik untuk pembangunan industri perfileman kita.

Saya bukan cuma berkarya dengan bahasa berbeza tapi menjalani keseluruhan proses yang menarik dari perspektif berlainan melalui interaksi dan pembelajaran. Walaupun timbul rasa takut dan bimbang, namun saya berpuas hati dengan hasilnya,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran filem itu, baru-baru ini.

Pengarah filem Rain Town Tunku Mona Riza Tunku Khalid (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran filem itu baru-baru ini.  – Gambar Facebook Finas, 24 Disember, 2023.

Walaupun kali pertama mengarahkan filem berbahasa Kantonis, Tunku Mona berkata sebelum ini beliau pernah mengarahkan iklan pelbagai bahasa antaranya Bahasa Mandarin, Kemboja dan Vietnam selain menghasilkan supertelefilem “Uri” dan “Parit Jawa”, masing-masing dalam bahasa Iban dan Jawa.

Apabila isteri Choo, Aileen ditimpa kemalangan, hubungan keluarga itu semakin renggang sehingga mencampakkan mereka ke dalam konflik yang menyayat hati.

Menariknya biarpun hanya akan ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 8 Februari 2024, filem ini telahpun mendapat perhatian di persada antarabangsa dengan menerima Anugerah Khas Filem Bahasa Yang Paling Dinantikan pada Anugerah “China Golden Rooster” Ke-36 bersempena Festival Filem “Golden Rooster and Hundred Flowers” di Xiamen, China, November lepas. 

Filem terbitan Current Pictures Sdn Bhd itu turut terpilih mewakili Malaysia ke Festival Filem Antarabangsa Laluan Sutera Ke-10 (SRIFF) di Fuzhou, China; Festival Filem Asia Vancouver (VAFF); Festival Filem Dunia Asia (AWFF); Festival Filem Antarabangsa India Ke-54 (IFFI) dan Festival Filem Medan (MFF) juga pada November lepas. – Bernama, 24 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen