Fatwakan semula Amanat Haji Hadi sesat, gesa perwakilan Amanah


Diyana Ibrahim

Pada masa ini, hanya Melaka yang memfatwakan Amanat Haji Hadi sebagai sesat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2023.

PIHAK berkuasa agama harus memfatwakan semula kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 1981, atau Amanat Haji Hadi, sebagai sesat, kata perwakilan Amanah dari Terengganu.

Pada masa ini, hanya Melaka yang memfatwakan Amanat Haji Hadi sebagai sesat.

Petikan ceramah yang dibuat di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu, pada 7 April 1981 itu kemudian menjadi asas konflik identiti Islam antara ahli PAS dan Umno yang membawa kepada tuduhan kafir-mengkafir.

Bendahari Amanah Terengganu Shuhaimi Hashim ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Amanah hari ini berkata semakan semula fatwa terhadap Amanah Haji Hadi perlu bagi menolak fahaman takfiri yang ditunggang PAS.

“Sudah tiba masanya Jakim mengeluarkan fatwa kenyataan Hadi ini sebagai haram.

“Saya mengharapkan apabila kita mengambil balik kerajaan kita dapat mengusulkan supaya perkara tersebut jelas bahawa ia telah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan fatwa itu sesat, dan bersalahan dengan ijmak ulamak,” katanya.

Amanah bersama Pakatan Harapan menguasai semula Putrajaya dan beberapa negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 selepas membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak, pada November 2022.

Pada Jun 2021, semasa PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya, timbul dakwaan mengatakan fatwa terhadap Amanat Haji Hadi telah dikeluarkan dari laman web Jakim.

Menteri agama pada masa itu, Idris Ahmad pada masa itu menjelaskan hanya Melaka yang memfatwakan ucapan presiden PAS itu sebagai sesat.

Amanat Haji Hadi itu antara lain membahaskan perbezaan antara PAS dan Umno dan antara lain menyebut “... kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku.”

Sementara itu, Shuhaimi juga mencadangkan agar perkataan Islam digugurkan daripada PAS.

“Kita mohon konvensyen ini meluluskan usul dibawa Terengganu supaya perkataan Islam pada parti PAS digugurkan. Ia tidak layak diguna parti itu kerana mereka mengkafirkan parti lain,” katanya.

Jelas Shuhaimi penggunaan perkataan Islam pada parti politik berbeza dengan yang dipakai pada institusi seperti bank dan universiti kerana ia tidak digunakan untuk mengkafirkan orang lain.

“Tapi PAS mengkafirkan parti tak sealiran dengan mereka,” katanya. – 23 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen