Amanah kecam Perikatan main naratif politik identiti, kata Mat Sabu


Diyana Ibrahim

Amanah kecam keras naratif politik identiti yang dibawa PN, kata presidennya Mohamad Sabu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2023.

AMANAH mengecam keras naratif politik identiti yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN), kata presidennya Mohamad Sabu.

Politik identiti ini jelas mewujudkan politik adu domba, katanya, apabila mencipta persepsi kononnya Islam terabai atau terancam jika kerajaan perpaduan mentadbir, sedangkan ia tidak begitu.

“Parti Amanah Negara menentang politik identiti yang dianjurkan PN.

“Ia mesti ditentang oleh Amanah kerana membawa pendekatan politik adu-domba, politik menakut-nakut orang Melayu dan Islam, kononnya Islam terancam dan Melayu terabai,” katanya pada ucapan dasar presiden pada Konvensyen Nasional Amanah di Klang hari ini.

Dalam ucapannya juga, Mohamad menegaskan Amanah menolak diskriminasi kaum minoriti sekaligus dominasi pihak majoriti dengan konsep ketuanan kaum.

Jelasnya, parti politik dengan pegangan sikap agama dan politik perkauman secara melampau akan meletakkan negara terus berada dalam konflik perebutan kuasa politik yang toksik, ekstrem dan jumud.

“Agama dan kaum etnik adalah dua identiti yang paling mudah disalahgunakan dan ditunggang sebagai modal atau kapital politik.

“Ia sekali gus membawa natijah buruk fenomena serta gejala takfiri atau mudahnya mengkafir lawan politik sebagai tidak Islam atau kurang Islam berbanding mereka,” katanya.

Konvensyen tahunan dua hari ini juga menjalankan pemilihan parti bagi memilih barisan 27 pimpinan kanan yang akan menerajui Amanah sehingga 2026.

Mohamad menerajui Amanah sejak penubuhannya pada 2015 selepas pergeseran dalaman PAS antara kumpulan profesional dan progresif dengan kelompok yang dianggap konservatif. – Bernama, 23 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen