Parti berasaskan kaum masih relevan, kata presiden MIPP


Ravin Palanisamy

Presiden Parti Rakyat India Malaysia P Punithan berkata parti berasaskan kaum masih sangat relevan dalam keadaan politik semasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2023.

PRESIDEN baharu Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) P Punithan berkata parti berasaskan kaum masih sangat relevan dalam keadaan politik semasa.

“Perlu ada parti politik India untuk menguruskan isu masyarakat India.

“Parti politik berbilang kaum ada pelbagai agenda, dan pelbagai kaum untuk diwakili.

“Malah pemimpin India dalam parti berbilang kaum juga tidak dapat menjadi suara kepada masyarakat India,” katanya yang juga bekas ketua Pemuda MIC Selangor, kepada The Malaysian Insight.

Susulan pengumuman barisan baharu pemimpinnya, MIPP yang ditubuhkan empat tahun lalu, akan menyerahkan permohonan untuk menjadi sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) kerana gabungan itu belum ada wakil India.

Punitha yang juga timbalan ketua jawatankuasa India PN, berkata MIPP mahu mengukuhkan sokongan masyarakat India kepada gabungan itu.

Beliau berkata pilihan raya umum lalu dan enam pilihan raya negeri (PRN) terbaru menunjukkan sokongan beraaskan kaum kepada parti politik masih relevan.

“Kita perlu jelas dengan situasi semasa politik dan trend mengundi pada pilihan raya lalu.

“Cina akan mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana DAP. Melayu akan undi PN kerana Bersatu dan PAS.

“Dalam PH, DAP adalah parti berbilang kaum tetapi didominasi satu kaum saja dan bank undi mereka sangat berasaskan kaum.

“Trend mengundi berdasarkan kaum sangat jelas. Kita tidak boleh nafikan perkara ini. Kalau tidak, PN tidak akan memperoleh 80% sokongan Melayu dan DAP terima 90% sokongan Cina.

“Trend ini dijangka berterusan mungkin hingga tiga pilihan raya umum akan datang.

“Semua kaum cenderung untuk mengundi berdasarkan kaum,” katanya. – 23 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen