RESTORAN berputar terkenal The Atmosphere 360 di puncak Menara Kuala Lumpur diarah untuk menutup operasinya sejak semalam.
Pemilik restoran Asian Kitchen (M) Sdn Bhd diperintah untuk mengosongkan premis oleh Mahkamah Tinggi sebelum 4 Januari 2024.
Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan pemilik semasanya Hydroshoppe Sdn Bhd memaklumkan mengenai perintah berkenaan yang dikeluarkan mahkamah terhadap Asian Kitchen.
Ketua pegawai eksekutif Asian Kitchen Ringo Kaw mengesahkan penutupan itu.
“Bailif Mahkamah Tinggi telah pergi ke restoran pagi semalam dan mengarahkan kami untuk menutup operasi.
“Kami kini berada dalam kesusahan kerana kami telah mendapat tempahan sehingga tahun depan memandangkan sambutan Krismas dan Tahun Baharu akan datang.
“Jadi kami tiada pilihan selain menawarkan bayaran balik kepada pelanggan kami.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat melayan kami dengan adil,” katanya dipetik sebagai berkata.
Kaw berkata sebelum Hydroshoppe mengambil alih pengurusan Menara KL, pengurusan sebelum ini secara lisan berjanji kepada mereka melanjutkan perjanjian sewaan kepada tiga tahun.
Pihak pengurusan baharu membenarkan mereka kekal sehingga akhir tahun.
Beliau berkata mereka membawa perkara itu ke mahkamah kerana pengambilalihan Menara KL oleh Hydroshoppe sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada April pengarah Hydroshoppe Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh didakwa memberikan rasuah tahunan sebanyak RM500,000 selama 15 tahun kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa kononnya untuk mempercepatkan pemerolehan konsesi Menara KL. – 22 Disember, 2023.
Komen