Angka kematian letupan depot bahan api Guinea meningkat 23


Letupan depot bahan api berlaku Ahad lalu di Kaloum, pusat perniagaan dan pentadbiran Conakry yang juga merupakan lokasi istana presiden, kementerian, kedutaan dan bank. – Gambar AFP, 22 Disember, 2023

ANGKA kematian akibat letupan di depot bahan api di Conakry ibu negara Guinea meningkat kepada 23, manakala bilangan yang cedera meningkat kepada 241, lapor Sputnik memetik laporan portal berita Africaguinee.

Letupan pada Ahad itu berlaku di daerah Kaloum, pusat perniagaan dan pentadbiran Conakry yang juga merupakan lokasi istana presiden, kementerian, kedutaan dan bank.

Letupan itu menyebabkan kerosakan yang ketara ke atas gudang dan kediaman menyebabkan beratus-ratus orang dipindahkan, dengan akses ke kawasan itu kini terhad kepada pekerja perkhidmatan perubatan dan pasukan keselamatan.

Daripada jumlah keseluruhan mangsa, 167 sudah dibenarkan pulang manakala 74 lagi masih di hospital, menurut laporan itu.

Laporan itu memetik Menteri Pos, Telekomunikasi dan Ekonomi Digital Guinea Ousmane Gaoual Diallo sebagai berkata bahawa beliau menerima banyak laporan orang hilang, dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.

Pada Isnin, media melaporkan 13 maut dalam letupan itu dan 178 lagi cedera. – Bernama, 22 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen