Kemboja tahan 4 warga asing edar lebih 58kg dadah


POLIS antidadah Kemboja menahan sekumpulan empat warga asing kerana didakwa mengedar dadah dan merampas 58.4 kilogram bahan terlarang itu, menurut Jabatan Anti-Dadah negara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua suspek lelaki itu ditahan pada Selasa semasa serbuan di dua lokasi di daerah Meanchey di ibu negara Phnom Penh selepas siasatan selama beberapa bulan.

“Kira-kira 28.3 kg methamphetamine kristal, 26.4 kg ekstasi, 2.9 kg nimetazepam, dan 0.83 kg ketamin dalam simpanan suspek dirampas semasa serbuan,” lapor Xinhua memetik kenyataan jabatan itu.

Kira-kira 336 kg bahan dadah turut dirampas, katanya.

Negara Asia Tenggara itu tidak menetapkan hukuman mati ke atas pengedar dadah. Mengikut undang-undang seseorang yang didapati bersalah mengedar lebih 80 gram dadah boleh dihukum penjara seumur hidup.

Menurut jabatan itu kerajaan mengambil tindakan ke atas 7,405 kes berkaitan dadah dalam tempoh 11 bulan pertama 2023, menahan 18,350 orang termasuk 458 warga asing dari 16 negara.

Sebanyak 2.85 tan dadah turut dirampas dalam tempoh Januari-November tahun ini kebanyakannya heroin, ekstasi, ketamin, kokain, kristal methamphetamine, pil methamphetamine dan katinon. – Bernama, 22 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen