Pembunuhan beramai-ramai mesti dihentikan di Gaza, kata ketua WHO


WHO menegaskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza mesti dihentikan di mana jumlah kematian rakyat Palestin kini meningkat kepada 20,000 orang. – Gambar EPA, 22 Disember, 2023.

KETUA Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza mesti dihentikan di mana jumlah kematian rakyat Palestin kini meningkat kepada 20,000 orang.

“Saya kehilangan kiraan berapa kali saya berfikir konflik di Gaza tidak boleh menjadi lebih mengerikan. Tetapi ia telah berlaku lagi,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus di X, lapor Agensi Anadolu (AA).

Beliau berkata jumlah mangsa yang terbunuh di wilayah yang dikepung dalam tempoh lebih dua bulan adalah mengerikan dan mempersendakan umat manusia.

“Kengerian itu tidak berkesudahan bagi mereka yang terperangkap dalam apa yang menjadi neraka di bumi,” kata Tedros.

Ketua WHO berkata secara purata kira-kira 300 terbunuh setiap hari di wilayah yang dikepung itu.

Beliau berkata sistem penjagaan kesihatan di Gaza semakin teruk apabila hanya sembilan daripada 36 hospital di wilayah itu berfungsi dengan tiada satu pun yang beroperasi di utara Gaza.

“Pembunuhan beramai-ramai mesti dihentikan. Kami memerlukan #CeasefireNOW,” kata Tedros.

Konflik antara Israel dan Hamas sejak 7 Oktober meragut nyawa lebih 20,000 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain menyebabkan pengusiran secara paksa penduduk dan kemusnahan besar-besaran. – Bernama, 22 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen