Rafizi berlagak suci, kata ketua penerangan Bersatu


Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris mendakwa Rafizi Ramli terus-menerusi melemparkan tuduhan mengaitkan nama Melayu dengan duit Jana Wibawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2023.

KETUA Penerangan Bersatu Razali Idris menyelar Timbalan Presiden PRK Rafizi Ramli, mengecamnya sebagai mencerminkan dirinya sebagai seorang suci atau malaikat.

Beliau mendakwa Rafizi memberi bayangan yang orang Melayu rasuah menerusi kenyataannya berkenaan program Jana Wibawa.

“Rafizi terus menerus mencerminkan dirinya sebagai seorang suci atau malaikat. Seolah-olah dia saja yang benar dan sahih.

“Seolah-olah Rafizi memperjuangkan orang Melayu Islam Bumiputera dengan jalan yang betul. Tuduhan demi tuduhan dilemparkan lagi Rafizi yang secara terus mengaitkan nama Melayu atas duit Jana Wibawa.

“Kita nak tanyalah, sudah adakah kes Jana Wibawa diputuskan oleh mahkamah, siapa yang tersabit dengan kesalahan itu?,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata Rafizi menggunakan platform atas nama kerajaan yang tidak akan menunggang orang Melayu hanya untuk memperkayakan segelintir pihak.

Inisiatif Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan Perikatan Nasional ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, yang bertujuan membantu kontraktor Bumiputera mendapat pekerjaan ketika pandemik Covid-19.

Inisiatif itu pada masa ini terpalit skandal rasuah membabitkan beberapa pemimpin Bersatu.

Razali berkata ahli Parlimen Pandan itu membuat tuduhan serius dengan mengaitkan orang Melayu dengan dana Jana Wibawa.

 “Rafizi mendahului hakim, mendahului mahkamah. Apa bukti yang dia ada?

“Saya nak tegaskan jangan jadi menteri politik dan propaganda, silalah jadi seorang menteri ekonomi bersifat negarawan.

“Sudah setahun memerintah, fesyen atau style lama juga dikekalkan, tak ke mana lagi ekonomi negara untuk tahun kedua di bawah kerajaan perpaduan ala madani ini,” katanya. – 21 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen