GAZA kehilangan hampir 66% pekerjaan sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober, menurut data Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Biro Statistik Pusat Palestin (PCBS).
Menurut data PCBS sebanyak 192,000 pekerjaan hilang di Gaza setakat 30 November manakala di Tebing Barat pula pekerjaan berkurangan sebanyak 32% atau bersamaan 276,000 pekerjaan.
“Rakyat Palestin di Gaza sedang berdepan malapetaka kemanusiaan yang luar biasa,” kata Pengarah Serantau ILO untuk Negara Arab Ruba Jaradat.
Presiden PCBS Ola Awad berkata kadar pengangguran pula mencapai tahap tertinggi dalam beberapa dekad.
Pejabat media kerajaan di Semenanjung Gaza berkata serangan Israel mengakibatkan 20,000 rakyat Palestin di wilayah itu terbunuh manakala lebih 52,000 lagi cedera sejak 7 Oktober.
Pada masa sama, kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel di Tebing Barat meningkat kepada 303 orang, lapor Agensi Berita Palestin WAFA. – Bernama, 21 Disember, 2023.
Komen